Salam Palestin,



Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan program Ijtima’ Tarbawi Pemuda PAS peringkat kebangsaan 2010 bermula 1 hingga 3 Oktober 2010 bertempat di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Program tarbawi perdana yang julung kali diadakan sejak sekian lama ini dijangka akan dapat menghimpunkan ribuan jentera pemuda PAS dan pendukung gerakan Islam dari seluruh negara.



Program ijtima’ perdana ini adalah bermatlamat menggerakkan pemuda untuk memahami tanggung jawab membina kekuatan PAS melalui tarbiyah dan sistemnya yang jitu. Ia juga bersempena dengan pindaan perlembagaan PAS terbaru yang telah memberi ruang dan melibatkan jentera pemuda di peringkat kawasan ke dalam program kemuncak parti iaitu muktamar tahunan. Program ijtima’ akan membantu jentera kawasan di seluruh negara untuk memahami dan menilai peranan dan tanggung jawab masing – masing.



Melalui program 3 hari 2 malam ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia mensasarkan kehadiran sekurang – kurangnya 20 orang jentera pemuda setiap kawasan selain jenteranya di peringkat pusat dan negeri. Jangkaan kehadiran lebih 3000 orang jentera pemuda ini pula akan dihangatkan lagi dengan jemputan umum, terutamanya kepada seluruh pemuda PAS seluruh negara yang berminat untuk menyertainya.



Jemputan khas juga disasarkan kepada seluruh pelajar daripada universiti dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan, kehadiran peserta daripada Dewan Muslimat, terutama daripada unit NISA’nya dijangka akan memperkasakan lagi program besar ini.



Justeru adalah dijangkakan, program yang akan melibatkan penyertaan hampir keseluruhan kepimpinan utama PAS ini mampu menghimpunkan lebih 5 ribu orang peserta dari seluruh negara.



Sehingga kini, hampir 20 orang pimpinan PAS telah menyatakan kesanggupan untuk bersama pemuda dalam program ijtima’ tersebut. Di antara kehadiran utama yang akan turun menyampaikan amanat dan wasiat tarbawiyah tersebut adalah al Mursyidul Am PAS, Presiden PAS, Timbalan dan Naib – Naib Presiden PAS, Ketua Dewan Ulama, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat PAS selain kepimpinan tarbiyah utama PAS seperti al fadhil Dato Dr Haron Din dan al fadhil Ustaz Dato Haji Yahya Othman.



Lebih memeriahkan, ijtima tarbawi ini dijangka menerima kunjungan tetamu daripada gerakan Islam daripada timur tengah.



Di antara agenda menarik yang telah disusun untuk memeriahkan dan mengoptimumkan hasil tarbawi melalui program ijtima’ ini adalah siri kuliah talaqqi kitab Tafsir al Tibyan syarah surah al Hujuraat oleh pengarangnya sendiri iaitu Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang. Kitab tersebut yang kini dalam proses ulang cetak sempena program ijtima tersebut telah diberi kata pengantar oleh al fadhil Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat.



Selain itu, program forum, pembentangan, ceramah tarbawi perdana, solat dan bacaan al ma’thurat berjamaah dan lain – lain lagi dijangka akan memeriahkan lagi isi perhimpunan ala mukhayyam perdana tersebut.



Pengarah program ijtima’, Ustaz Haji Azman Shapawi dan Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia yang diberi tugas utama menjayakan program ini ingin merakamkan harapan kepada seluruh jentera pemuda di seluruh negara untuk memastikan kejayaan program ini dengan kehadiran penuh dan komitmen yang tinggi terhadapnya. Semoga Allah memberkati.