Makan Malam Blogawan PAS Dengan Lujnah Penerangan PAS Negeri Terengganu





Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu YB Dato' Hj Harun Taib


Khusyuk mendengar penerangan dari Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu


Sesi berkongsi pandangan

Kuala Terengganu: Satu pertemuan dan Majlis makan malam Blogawan dan Webmaster Negeri Terengganu bersama YB Dato Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu telah berjaya diadakan. Majlis ini dianjurkan oleh Lujnah Penerangan PAS Negeri Terengganu.

Tujuan majlis ini diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan Blogawan Terengganu dengan pimpinan PAS Negeri serta menetapkan matlamat dan halatuju para blogawan Terengganu dalam memastikan transformasi maklumat dapat berlaku dengan cepat dan telus.

YB Pesuruhjaya PAS Terengganu dalam ucapannya menyatakan bahawa para blogawan seharusnya memperkemaskan serta memperhebatkan penyebaran maklumat dan informasi terkini untuk memberi gambaran tentang keindahan dan kehebatan Islam kepada masyarakat umum melalui medium internet atau teknologi maklumat di alam siber.

Para Blogger PAS juga disarankan supaya melengkapkan diri dengan ilmu agama dalam mendepani mehnah dan tribulasi sebagai seorang blogger agar penulisan mereka tidak tersasar dan berlandaskan nilai-nilai Islam. Ini adalah supaya maklumat yang disampaikan dapat mencerminkan ketelusan para blogger bukan hanya sekadar blogging kosong bahkan sebagai seorang pendakwah yang menyampaikan dakwah Islam secara maya.

Atas kesedaran terhadap keberkesanan penyebaran maklumat melalui medium internet inilah maka Lujnah Penerangan PAS Negeri Terengganu berusaha untuk mengumpulkan para blogger negeri Terengganu bagi membentuk satu gagasan dan kesatuan. Pembentukan gagasan atau kesatuan ini adalah bertujuan agar dapat menjadikan maklumat yang disampaikan oleh para blogger ini tidak bertentangan antara satu sama lain. Ia juga bagi menutup ruang kepada pihak musuh yang cuba mencari kesempatan terhadap percanggahan pendapat dan maklumat dari para blogger.

Dalam ucapannya lagi, YB Dato' Pesuruhjaya PAS Terengganu mengatakan mengenai peri pentingya peranan para blogger mutakhir ini. Ianya telah memberi impak yang besar terhadap survival politik parti-parti yang ada di Malaysia khususnya dan dunia amnya.

Turut diadakan juga ialah sesi kongsi pengalaman dan dialog dua hala antara pemimpin dan para blogger. Dialog dua hala ini ternyata memberikan satu kesimpulan yang unik tentang gerakerja yang perlu dilakukan oleh para blogger sebagai pejuang Islam untuk memperkasakan PAS sebagai medium penyebaran Islam kepada masyarakat.

YB Dato' Pesuruhjaya PAS begitu percaya dan yakin bahawa peranan para blogger dalam memberikan kefahaman dan ilmu Islam kepada masyarakat akan dapat direalisasikan dan seterusnya memberikan satu momentum yang baru kepada PAS untuk memenangi Pilihanraya yang akan datang dan sejurusnya dapat melaksanakan pemerintahan berteraskan Islam yang sejati.

Majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar para blogger bersama Dato' Pesuruhjaya dan lain-lain pimpinan yang hadir bersama sebagai kenang-kenangan. Majlis tersebut dipenuhi dengan rasa ukhuwwah dan jalinan mesra hubungan silaturrahim sesama insan yang hadir.

Semoga Allah Subhanahu Wa Taala memberkati majlis ini. Bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

"Islam Memimpin Perubahan"

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula