KUALA TERENGANU - Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan (gambar) menasihatkan orang ramai supaya mengelak membeli air batu dan makanan tercemar bagi mencegah penyakit taun daripada merebak.

Menurutnya wabak taun yang dikesan di negeri ini dua minggu lalu masih belum reda kerana terdapat peningkatan kes dilaporkan sejak dua tiga hari lalu, namun memberi jaminan, ia masih dalam keadaan sederhana dan terkawal.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar kes taun setakat ini.

Pada 10 November lalu, seorang pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit itu dan 11 lagi didapati positif menghidap sakit taun masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Dr Nordiyanah dipetik Bernama berkata, pihaknya sedang memantau kedai-kedai makanan dan akan diarah tutup jika didapati menjual makanan yang tercemar.

"Jika makanan yang disajikan di kedai-kedai didapati tercemar, kebersihan tidak memuaskan, kita arah tutup walaupun ia tidak ada kaitan dengan penyakit taun," katanya.

Dr Nordiyanah turut mengesahkan, beberapa kedai di sekitar daerah ini telah diarahkan tutup tetapi enggan mendedahkan jumlahnya.

Beliau menyatakan kebimbangan sekiranya banjir berlaku kerana kuman taun akan merebak melalui air banjir.

"Kami bimbang jika banjir berlaku kerana penyakit ini akan cepat merebak melalui air banjir yang bercampur dengan najis," katanya.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula