Dialog Muzik Dan Seni Dengan Pemuda PAS - 1


Dialog anjuran musicForum(Gambar oleh musicForum)

"MINTA maaf ya, ustaz, saya ada pengakuan," kata saya. "Dalam kolum saya, teruk juga saya tibai ustaz tentang pendirian Pemuda PAS berkenaan konsert Michael Learns to Rock."

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan at Tantawi, senyum selamba saja. "Saya tak ambil hati. Kalau macam tu, DatukZaid Ibrahim pun mengkritik kami juga." Rakan-rakan Nasrudin dari Pemuda PAS tersenyum dan mengangguk-angguk.

Dengan itu, dialog anjuran musicForum antara saya dan Nasrudin bermula. Ia melihat penglibatan kira-kira 30 orang muda-mudi Melayu Islam yang lain. Masanya lepas solat terawih, dan tarikhnya 2 Sept 2009. Tempatnya di Studio Poket, Pusat Bandar Puchong Utama. Tajuknya, Di mana muzik dalam politik Islam?.

Dengan ikhlas saya mengaku, saya berdebar-debar juga mahu berhadapan dengan Nasrudin. Akan tetapi, walaupun moderator dialog tersebut, Fathi Aris Omar, memperkenalkan saya sebagai seorang pemuzik dan anggota bersekutu Sisters in Islam (SIS), Nasrudin dan kawan-kawannya tidak terkejut. Malah, tidak seorang pun yang memperlekehkan atau mengutuk SIS seperti yang saya biasa lihat di pelbagai blog dan siaran akhbar.

Saya sebenarnya dijemput oleh pihak penganjur sebagai seorang pemenang Anugerah Industri Muzik, jadi bab keanggotaan SIS saya memang tidak masuk tajuk pun. Saya diminta membuka tirai dialog tersebut, jadi saya mengupas pendapat imam al-Ghazali. Menurut al-Ghazali, kesenian itu sebenarnya merupakan kurniaan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Ia menghidupkan jiwa kita untuk kita lebih menghayati keindahan ciptaan Allah. Ini termasuklah bidang muzik dan tarian. Dan inilah yang mendorong saya untuk berkarya sebagai seorang artis beragama Islam.

Saya juga mengupas dua hadis sahih daripada saidatina Aishah, di mana Rasulullah sendiri telah membenarkan Aishah untuk berhibur dan menonton persembahan tarian dan nyanyian. Malah, apabila saidina Abu Bakar menegur penghibur-penghibur tersebut sebagai "serunai syaitan", Rasulullah sendiri berkata, "Biarkan mereka — bukankah ini hari perayaan?"

Malah, belum terdapat ijma yang benar-benar kukuh tentang hukum muzik dalam Islam. Ada ulama yang berkata hanya nyanyian suara saja yang dibenarkan, ada yang berkata hanya instrumen tidak bertali yang dibenarkan, tetapi ada juga yang berkata kesemuanya dibenarkan bergantung kepada niat dan mesej yang terkandung dalam karya muzik tersebut.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula