Pentingnya Kuliah Berkitab


Mungkin ada yang bertanya apa perlunya kitab dalam satu siri kuliah pengajian dan apa bezanya ceramah-ceramah agama yang boleh dinikmati menerusi kaset-kaset. Tentunya lebih mudah dan ringkas, lagi pula sesuai dengan kesibukan urusan dunia hari ini. Tetapi terfikirkah kita mengapa di sekolah atau mana-mana institusi pendidikan akademik begitu menitik beratkan kepada teks-teks pengajian? Bahkan dimestikan membawanya ke sekolah.

Dan kalau kita renungi mesej surah Al-‘Alaq(ayat 1-5) sebagai ayat yang pertama yang diturunkan adalah juga mengaitkan dengan pena(Qalam) “Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan”(Al-‘Alaq ayat 4). Dan juga sampainya ajaran Islam di tempat kita ini pun adalah menerusi kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama yang berjuang menerusi pena, selain dari lisannya. Dan bagaimana pula nasib generasi selepas kita nanti sekiranya inisiatif yang sama tidak diambil dari sekarang?

Sebenarnya ada beberapa faktor penting yang tersirat di sebalik kuliah berkitab ini, antaranya ialah: 

• Kuliah yang disampaikan oleh guru dapat difahami dengan sempurna kerana dapat berpandukan kepada teks di hadapan kita.

• Kitab juga sebagai bahan rujukan kita sekeluarga di rumah. Atau sekurang-kurangnya untuk rujukan diri sendiri bila memerlukan nas atau dalil sesuatu hokum yang berkaitan dengan apa-apa masalah yang timbul lebih-lebih lagi dalam hal fardhu ain seperti bersuci dan ibadah umpamanya.

• Kuliah yang disampaikan juga lebih terjamin kesahihan faktanya dari segi disiplin ilmu dan silsilah pengambilannya. Lihatlah hadis-hadis Rasulullah S.A.W. bagaimana begitu cermat sekali cara penulisannya dengan sanad-sanadnya dan klasifikasinya seperti dalam ilmu Mustalahul Hadis. Ini semua untuk kemudahan umat zaman akhir ini yang tidak sempat merujuk sendiri kepada peribadi mulia Rasulullah S.A.W. dan kemurnian Islam akan lebih terpelihara.

• Menerusi kitab-kitab muktabar juga sebenarnya kita bukan setakat diajar oleh guru-guru dalam kuliah bahkan secara tidak lansung hati kita turut diasuh oleh mushonnif(pengarang) kitab itu sendiri dari kalangan ulama yang diperakui pada zamannya. Autoriti dan kredibiliti yang disandarkan oleh umat ini terhadap keilmuan dan kesolehan mereka yang dirahmati itu sukar diganggu gugat oleh mana-mana golongan. Sehingga kini karangan mereka masih dimanfaatkan dan sebagai teks kuliah di pusat-pusat pengajian Islam.

• Bagi guru-guru kuliah pula, isi pengajarannya akan lebih berdisiplin dan tidak terbabas dari sandaran yang menjadi sumbernya yang sahih berdasarkan ijmak dan jumhur ulama dikalangan ahli sunnah wal jamaah. Lebih-lebih lagi dalam bidang tafsir Al-Quran, kerana Islam melarang mentafsirkan Al-Quran berdasarkan pendapat sendiri. Sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya “Barangsiapa mentafsirkan Al-Quran dengan mengikut fikirannya, maka sesungguhnya dia menyediakan tempat duduknya dari api neraka” (hadis hasan: riwayat At-Tirmizi dari Ibnu Abbas). Demikian dinukilkan oleh Imam Ghazali (rahimahulllah) di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin pada bab adab membaca Al-Quran.

• Bagi para penuntut pula, dapat mempelajari serta membiasakan diri dengan tulisan jawi dan bahasa persuratan Melayu tradisional yang mana banyak perbezaannya dengan system ejaan dan tatabahasa Melayu moden.

• Method kuliah seperti ini akan mendekatkan lagi jurang antara generasi kini dengan para ulama silam, seperti mana hubungan antara hamba dengan tuhannya dapat dimesrakan melalui mushaf Al-Quran yang dimuliakan dan ditatapi setiap masa. Demikian juga dengan peribadi Nabi S.A.W, para sahabat r.anhum dan para ulama silam yang dirahmatiNya.

Inilah antara sebab mengapa orang sekarang tidak mengenali dan terkadang mencerca ulama silam ialah kerana mereka ini tidak diasuh dan dididik oleh guru-guru agama dengan menggunakan kitab-kitab ulama sebagai teks kuliah. Bahkan mereka tidak merasakan kesungguhan ulama-ulama silam dalam penulisan mereka.  

Muhammad Redhwan bin Nordin
Ketua Teknologi Maklumat@ICT
Pemuda PAS Dun Kijal



Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula