Penggabungan PAS Dengan Bukan Islam Apakah Relevannya?


  Assalamualaikum warahmatullah, Segala puji-pujian hanya layak bagi Allah azzawajalla dan wajib bagi kita sebagai hamba merafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kita kehadhrat Ilahi kerana rahmat dan limpah kurnianya terlalu banyak buat kita dan tidak terhitung. Nikmat yang paling besar dan paling bernilai ialah nikmat Iman dan nikmat Islam. Janganlah kita mensia-siakan kedua-dua nikmat ini. Justeru itu sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan segala perintah Allah Subhanahu Wa Taala.  

  Baru-baru ini saya ada terdengar kembali desas-desus isu mengenai Parti Islam Semalaysia (PAS) telah menyeleweng daripada dasar yang mereka perjuangkan. Mereka mendakwa perkara tersebut dapat dilihat apabila PAS sanggup bergabung dengan parti bukan Islam untuk mencapai matlamat politiknya. Dakwaan mereka lagi, PAS sudah hilang ketulenannya. 

  Apabila melihat senario ini saya merasa agak terkilan kerana yang mendakwa demikian adalah dari kalangan ahli jemaah PAS sendiri. Bukankah perkara ini sudah dijelaskan oleh Tuan Guru Presiden kita. Insya-Allah sekali lagi saya akan cuba menjelaskannya serba sedikit dari perspektif sirah dan cuba menerangkan keadaan sebenar dan apakah perkara ini dibenarkan di dalam Islam. Insya-Allah akan saya terangkan secara ringkas sekadar kefahaman dan kemampuan yang dikurniakan Allah Taala kepada saya.

  Sekali pun PAS bergabung dengan DAP dan PKR namun matlamat asal perjuangan PAS tidak sesekali diabaikan. PAS tetap berjuang demi untuk menegakkan hukum Allah di bumi Malaysia kita ini. Ada pun penggabungan PAS, DAP dan PKR sebagai pakatan rakyat ada kemaslahatannya. Sebagaimana yang kita lihat DAP dan PKR dasar perjuangan mereka kerana mahu menghapuskan kezaliman yang berlaku di Malaysia. Maka di sana kita dapat lihat ada persamaan dalam matlamat perjuangan antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat ini. Oleh kerana Malaysia menggunakan sistem demokrasi berparlimen yang memerlukan suara yang banyak untuk menguasai parlimen, maka penggabungan ini adalah cara yang terbaik. 

  Penggabungan ini pula bukanlah dibuat secara membuta tuli ada perjanjiannya. Perjanjian ini dinamakan Tahaluf Siyasi atau persefahaman politik. Bukankah elok jika sekiranya ulama dapat bersuara dalam parlimen dan pengaruhnya adalah lebih besar daripada hanya sekadar mengajar di masjid-masjid. Islam akan tersebar kerana ramai orang yang berpengaruh akan mendengar ucapan ulama-ulama dalam parlimen. Ayat-ayat al-Quran dapat dibacakan. 

  Perkara ini tidak menjadi kesalahan di dalam Islam. Rasulullah S.A.W. pernah satu ketika (sebelum dilantik menjadi Rasul) telah pergi bersama datuknya Abdul Mutholib ke perjumpaan untuk memeterai perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian Fudhul. Perjanjian Fudhul ini adalah bertujuan untuk membanteras kezaliman yang berlaku terhadap kabilah arab jahiliyyah. Rasulullah S.A.W. pernah memberitahu sahabat-sahabat baginda tertarik hati dengan perjanjian ini dan Baginda akan menyahut seruan perjanjian ini sekalipun Baginda sudah menyebarkan Islam.

  Daripada sirah nabawi di atas maka dapatlah kita qiaskan dengan apa yang PAS lakukan sekarang ini. Islam membenarkan kita membuat perjanjian dengan bukan Islam untuk tujuan menentang kezaliman. Perjanjian itu juga hendaklah tidak bertentangan dengan syarak.

  Ada sesetengah pihak mendakwa PAS sudah tidak teguh dengan dasar perjuangan mereka untuk menegakkan Islam. Dakwa mereka, ini kerana PAS sanggup menerima bantuan dari orang bukan Islam bagi mencapai matlamat perjuangan mereka. Mereka mendakwa bahawa PAS sudah terpesong dari landasan yang sebenar.

  Melihatkan senario di atas janganlah kita dengan jumudnya menerima bulat-bulat dakwaan pihak tersebut. Sedangkan Rasulullah S.A.W. ketika berhadapan dengan masyarakat Arab jahiliyyah yang telah mengadakan perjanjian sesama mereka untuk tidak berurus niaga dengan Rasulullah dan para sahabat baginda. Maka para sahabat tidak dapat menjual dan membeli kerana dipulaukan oleh masyarakat Arab jahiliyyah. 

  Rasulullah dan para sahabat telah mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan, diriwayatkan sehingga para sahabat terpaksa makan pucuk-pucuk kayu. Hal pemulauan ini berlarutan selama tiga tahun. Seorang kafir Quraish yang bernama Mat’am bin Adi tidak sanggup melihat perkara ini berlaku lalu menyuruh anak-anaknya mencabut surat perjanjian yang dilekatkan di Kaabah. Tiada pihak yang berani menghalangnya kerana keluarga Mat’am bin Adi ini terkenal dengan sifat kepahlawanannya.

  Rasulullah S.A.W. telah menerima bantuan Mat’am bin Adi. Bantuan tersebut membuka sedikit ruang kepada Islam. Rasulullah S.A.W. sangat berterima kasih kepada Mat’am bin Adi kerana bantuannya. Ini dapat dilihat dalam satu peristiwa peperangan di mana Rasulullah berurusan dengan tawanan peperangan tersebut, Baginda telah memberitahu para sahabat jika sekiranya Mat’am bin Adi masih hidup ketika ini dan meminta supaya tawanan ini dibebaskan nescaya baginda S.A.W. akan membebaskan mereka sebagai membalas jasa baik Mat’am bin Adi kepada baginda dan para sahabat.

  Melihatkan senario sirah di atas maka tidak menjadi kesalahan dalam Islam untuk menerima bantuan dari orang bukan Islam. Janganlah kita terlalu mudah mengatakan sesuatu sebelum mengkajinya sedalam-dalam yang mungkin. Inilah sedikit penerangan dan penjelasan yang dapat saya berikan buat masa ini. Ini semua adalah anugerah Allah kepada saya insan yang kerdil ini kerana tanpa taufiq dan hidayahnya saya tidak mampu berbuat apa-apa. 

  Semoga ia menjadi saham akhirat buat kita semua, yang menyusun serta yang membacanya. Moga Allah menunjukkan kita kebenaran itu adalah kebenaran, dan menganugerahkan kita agar mengikutinya, dan menunjukkan kita kebatilan itu adalah batil seterusnya menganugerahkan kita agar menjauhinya. Harapan kita agar Allah menjadikan amal ini semata-mata hanya mengharapkan redha-Nya. Akhir kata segala yang baik itu datangnya dari Allah dan segala yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalamualaikum.
Muhammad Redhwan bin Nordin
Ketua Teknologi Maklumat@ICT
Pemuda PAS Dun Kijal



Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula