Ijtihad Politik Berani Mesti Diurus Secara Bijaksana


Oleh: Ustaz Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek

BN diambang kejatuhan. Mood rakyat dalam pilihanraya kecil berpihak kepada Pakatan Rakyat. Pimpinan PR tidak lagi bercakap tentang terus menjadi pembangkang tetapi government in waiting.

Kerajaan menanti yang akan menggantikan BN mesti berbeza dari BN. PAS sebagai parti Islam dan gerakan Islam mesti mengetuai dan menjadi tunggak kepada perubahan itu. Muktamar yang baru selesai mengemukakan tema hebat ‘Islam Memimpin Perubahan'. Ia bukan sebarang tema. Tetapi tema yang perlu diisi sebaik mungkin.

Dalam masa yang sama, PAS punya peranan penting memastikan Islam terus berdaulat. Soalnya, adakah berdaulatnya Islam itu melalui kerjasama dengan Pakatan Rakyat atau dengan UMNO melalui kerajaan perpaduan? Atau mungkin ada alternatif lain lagi?

DAP punya ideologi tersendiri. Begitu juga PKR. Ideologi DAP agak rigid yang terkadang agak kurang selesa dengan PAS. PKR mungkin agak longgar. Ada beberapa perkara penting yang diperjuangkan oleh PAS tidak diterima dengan baik oleh DAP. Tetapi dengan keberadaan PAS dalam Pakatan Rakyat setakat ini menunjukkan keuntungan yang diperolehi, termasuk undi dari bukan Islam. Kelab Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam menjadi aset penting kepada PAS, sama ada dari segi politik atau dakwah jangka panjang. Banyak tembok pemisah dengan orang bukan Islam dapat dipecahkan. Tidak mustahil undi bukan Islam terus meningkat dalam PRU akan datang jika Kelab Penyokong PAS ini dilayan dengan baik.

Soalnya, adakah DAP bersedia menerima keputusan yang berkait tentang Islam jika berjaya memerintah Malysia bersama Pakatan Rakyat. Adakah ahli Parlimen DAP akan menyokong segala perkara berkaitan kepentingan Islam dan umat Islam? Apabila PAS kemukakan usul haramkan SIS (jika terbukti menyeleweng) dan beberapa isu lain menyangkut kepentingan Islam pun sudah mendapat bantahan DAP, maka bagaimana dengan perlaksanaan Islam secara menyeluruh nanti?

Sebaliknya idea kerajaan Perpaduan pula ditolak oleh ramai perwakilan ketika Muktamar PAS baru-baru ini. Kebanyakan mereka mengungkitkan betapa jahatnya UMNO terhadap PAS, termasuk di negeri-negeri yang diperintah PAS dan Pakatan Rakyat.

UMNO adalah Melayu, tetapi keislaman mereka dan keMelayuan mereka telah teruji selama beberapa lama bahawa mereka bukanlah golongan yang mahukan Islam dengan ertikata sebenar. Merekalah juga Melayu yang menggunakan keris kuasa mereka menikam sesama Melayu, sama ada dari segi politik, ekonomi, hatta bahasa sekalipun.

Adakah jika dibentuk kerjasama kerajaan Perpaduan itu bersama UMNO, dan rakan Pakatan Rakyat terpinggir, ia akan menguntungkan Islam?

Soalan-soalan yang begitu banyak sebenarnya yang memerlukan jawapan. Implikasi masadepan negara dan Islam juga mesti diambilkira dalam meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat atau membentuk kerajaan Perpaduan. Kedua-dua pilihan dilihat punya aspek positif dan negatif masing-masing. Ayat al-Quran benar, hadis benar, sirah juga benar. Tetapi realiti politik semasa juga benar. Banyak perkiraan mesti diambilkira. Cara mengambil dalil dari al-Quran, hadis dan lain-lain sumber hukum mesti benar. Jangan jadi seperti kata fuqaha ‘Al-Istidlal fi ghairi mahallihi' (Mengambil dalil yang benar tetapi bukan pada tempatnya yang sebenar).

Kaedah fiqh menyebut: ‘Apabila bertembung dua kemudaratan, maka diraikan yang paling kurang mudaratnya'. Sekali lagi soalnya, yang mana paling kurang mudarat? Atau di sana ada alternatif ketiga yang masih belum dibincang? 

Saya cadangkan Majlis Syura dan AJK Kerja PAS Pusat atau mereka yang berkenaan yang difikirkan layak berbincang (walaupun Majlis Syura pernah berbincang) secara lumat dan halus dan satu keputusan muktamad perlu dibuat. Tidak perlu pimpinan ‘bermuktamar' di media-media yang boleh memberi kesan negatif kepada perjuangan dan ahli. Pepatah Melayu menyebut: ‘Menarik benang dari dalam tepung biarlah benang tidak putus dan tepung tidak berselerak'. 

Ijtihad politik yang berani untuk masa depan rakyat, negara, Islam dan umat Islam mestilah diurus dengan penuh kebijaksanaan. Ketika BN lemah dan parah, sementara sokongan sedang meningkat, jangan sia-siakan peluang untuk mendaulatkan Islam ini.

Sumber: www.dppkk.org


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula