Semua perlu gembleng tenaga selamatkan Islam

Muktamar akan menjelang tidak berapa lama lagi. Ia bukan gelanggang untuk bertarung sesama sendiri atau menunjukkan bakat petah bercakap dengan menyusun ayat-ayat yang hebat hingga mampu memukau para perwakilan.

Penganjuran muktamar saban tahun sebenarnya adalah untuk melakukan muhasabah diri setiap ahli parti atau ahli gerakan Islam dalam rangka untuk menyelamat, memperkasa, menabalkan Islam sebagai cara hidup umat dalam segenap aspek. Islam perlu diusahakan sehingga ia dapat diterima oleh segenap lapisan bangsa manusia khususnya dalam negara Malaysia sebagai agama penyelamat dan pembawa rahmat seluruh alam.

Tidak kira siapa, apa jawatan, latar belakang pengajian, ulama, profesional, muslimat atau pemuda selagi mereka adalah ahli PAS, sekali gus ahli gerakan Islam, mereka adalah dituntut untuk menggembleng tenaga bagi memastikan kesinambungan agama Islam pada ketika Islam dihinjak, diperlekeh oleh golongan tertentu yang mempunyai agenda tersendiri untuk menyekat kemaraan Islam.

Kita sedar bahawa Islam semakin diterima di kalangan rakyat berbilang kaum dalam negara ini, ia hasil dari kesungguhan dan sumbangan semua ahli PAS dari setinggi-tinggi jawatan hinggalah ke peringkat akar umbi, kerana mampu menerajui masyarakat dengan membawa mesej Islam sebagai agama yang bersifat konprehensif dan universal.

Gambaran Islam rosak akibat tindakan penganutnya

Semua pihak dalam negara ini, sama ada yang beragama Islam atau tidak, dapat menyaksikan secara langsung bagaimana terdapat individu yang bernama Islam terlibat dalam memburuk-burukkan gambaran (tasawwur) dan syiar agama Islam dalam kehidupan rutin harian mereka.
Ada yang membunuh lalu meletupkan mangsa, menyamun, meragut, memecah amanah, mengeluarkan fatwa bahawa berenang di laut Inggeris kerana menaikkan nama negara walaupun tidak melakukan ibadat solat tidak menyalahi tuntutan agama Islam, berpegangan tangan malah berpelukan antara pasangan lelaki dan perempuan bukan suami isteri dalam lakonan tidak ditegah, kes buli melibatkan pelajar sekolah agama hingga membawa kematian dan ratusan lagi kes yang tidak menjadi contoh baik kepada bukan Islam apatah lagi Muslim yang longgar ikatan dengan Islam.

Penampilan 'Islam Hadhari' yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri sedikit pun tidak membawa erti konsep Islam yang sebenar dengan ketidak-mampuannya untuk membendung kemaraan gejala rasuah yang melibatkan golongan profil tinggi, malah menyusahkan umat, negara dan bangsa.

Boleh dikatakan bahawa Islam sejak akhir-akhir ini menjadi mangsa permainan politik pihak tertentu yang begitu ghairah untuk mencapai impian yang dicita-citakan walaupun melanggar prinsip matlamat tidak menghalalkan cara, bukan sahaja melanggar peraturan agama Islam sebagai agama tertinggi negara, tetapi melanggar peraturang yang dibuat sendiri oleh manusia.
Mereka lupa, bahawa Islam menjadi tanggungjawab ke atas setiap individu muslim/muslimah untuk memeliharanya dalam apa jua keadaan, percambahan drama atau filem bercorak seram sebenarnya boleh menggugat hubungan mereka dengan Allah SWT, yang akhirnya bukan takut kepada Allah tetapi takut kepada hantu, ia sedikit sebanyak menjejas akidah umat Islam.

Apakah alternatif yang disediakan PAS?

Penggemblengan tenaga oleh kumpulan-kumpulan PAS di atas yang terdiri daripada ulama, profesional, muslimat dan pemuda menjadi alternatif kepada masyarakat dalam negara ini. Islam sudah mula diterima di kalangan bukan Islam apabila melihat MB Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sering diperkatakan mereka sejak akhir-akhir ini.

Nama Tuan Guru menjadi sebutan di bibir bukan Islam khususnya dan di kalangan rakyat Kelantan amnya termasuk ahli-ahli Umno yang menyaksikan sendiri kepimpinannya yang berteraskan Islam telah memaut hati semua lapisan masyarakat termasuk golongan tua, muda, lelaki, perempuan, yang Islam dan bukan Islam semakin merasa selesa tanpa sebarang diskriminasi, apa yang Tuan Guru utamakan adalah konsep keadilan yang diperkenalkan Islam.

Begitu juga dengan kepimpinan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ang juga diceritakan kebaikan kepimpinannya di kalangan mereka yang berkunjung ke Kedah selepas setahun pentandbiran Pakatan Rakyat. Sesungguhnya kemelut di Perak juga memberi kesan positif kepada PAS dan Pakatan Rakyat apabila ramai anak-anak muda sudah mula bercakap tentang kepimpinan Menteri Besarnya, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Apa yang perlu difokuskan oleh ulama, profesional, muslimat dan pemuda dalam muktamar kali ini, ialah penelitian perancangan masa panjang dan pendek bagaimana mereka boleh menarik lebih ramai lagi individu di luar kotak PAS hingga dapat menerima Islam sebagai agama terbaik yang pernah mereka saksikan.

Dalam muktamar, lupakan persoalan yang kecil-kecil yang tidak boleh memberi input kepada Islam dan parti, kerana mengislamkan masyarakat adalah agenda yang lebih penting daripada segala-galanya, justeru setiap kelompok dalam PAS ada jabatan dan unit tertentu yang boleh difungsikan sebagai badan sokongan untuk tujuan tersebut.

Kita begitu yakin dan optimis, bahawa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, pegangan agama, kerjaya, gender dan sebagainya memberi harapan kepada kepimpinan PAS dalam muktamar kali ini bagi membuat resolusi terbaik yang lebih baik daripada sebelum ini hingga Islam berjaya dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang dengan segala perancangan rapi hasil penggembelngan tenaga semua pihak dalam PAS.

Oleh: Ustaz Zainudin Hashim

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula