KEPUTUSAN TIGA HAKIM MAHKAMAH RAYUAN DIANGGAP LUAR BIASA


Tiga hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir dari UMNO adalah Menteri Besar Perak yang sah, dan bukannya Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.


Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar.
Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.


Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, "negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa dengan kebolehan luar biasa."Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak.


Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri.
Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri.


Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan. .


Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan.


Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Tun Razak.
"Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan BN," kata Kit Siang.


Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar menyifatkan keputusan itu "memualkan" dan dipengaruhi oleh tekanan politik.


Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas, bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini.


Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah.


Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini.

1 Comentário:

mat pit said...

PENING PALEEEEEEE

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Followers

PEMUDA PAS DUN KIJAL ©Template Blogger Green by Dicas Blogger ©Blogger.

Atas Semula